Fadhilat Bulan Zulhijjah
Fadhilat Bulan Zulhijjah
Hari ini, Selasa 11 Januari 2005 adalah pencukup bulan Zulkaedah 1425H.
Maka, esok, Rabu, 12 Januari adalah awal bulan Zulhijjah 1425H.
Bulan Zulhijjah adalah antara bulan yang sangat agung di dalam Islam dan ibadah yang dilakukan oleh seorang hamba di dalam bulan ini sangat-sangat disukai oleh Allah SWT.
Di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa,"Tiada satu hari dimana amalan soleh yang dilakukan oleh seorang hamba itu lebih disukai oleh Allah SWT, daripada sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah".
Dari sini, dapatlah kita fahami bahawa sepuluh malam yang teragung pada setiap tahun adalah pada sepuluh malam terakhir di dalam bulan Ramdhan.
Akan tetapi, sepuluh (siang) hari yang teragung pula adalah, sepuluh hari pertama di dalam bulan Zulhijjah.
Maka, dari itu, marilah kita mempertingkatkan amalan-amalan soleh kita pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah yang mulia ini, yang bermula pada Hari Rabu, 12 Januari 2005.
*** *** ***
Di dalam sepuluh malam yang termulia (akhir Ramadhan) tersebut, ada pula satu malam yang paling agung. Malam apakah itu?Ianya adalah Malam Lailatul Qadr.
Apakah pula (siang) hari yang paling agung sepanjang setahun? Hari yang teragung itu adalah Hari Arafah, iaitu hari dimana para jemaah haji berwuquf di padang Arafah pada 9 Zulhijjah.
Hari tersebut adalah hari pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka. Tiada satu hari pun dimana lebih ramai hamba-hambaNya dibebaskan oleh Allah SWT daripada api neraka, daripada pada Hari Arafah.
Rasulullah SAW bersabda, "Tiada satu hari dimana Allah SWT membebaskan lebih ramai hamba-hambanya daripada api neraka, daripada Hari Arafah".
*** *** ***
Bagi mereka yang tidak menunaikan haji pula, antara amalan sunnah yang sangat-sangat dituntut pada hari tersebut adalah mengerjakan Puasa sunat Arafah.
Fadhilat Puasa Arafah adalah pengampunan dosa selama dua tahun (setahun sebelum dan setahun sesudahnya).
Demikianlah, anugerah yang telah disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang beriman.
*** *** ***
10 Zulhijjah adalah Hari Raya Haji. Sepertimana Hari raya Puasa, umat Islam disunatkan untuk menunaikan solat pada pagi tersebut.
Mengenai amalan takbir pula, umat Islam disunatkan memperbanyakkan takbir, terutama selepas menunai solat, dari pagi 9 Zulhijjah hinggalah terbenamnya matahari pada akhir Hari Tashriq, iaitu 13 Zulhijjah.
11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah Hari-Hari Tashriq dan diantara hari-hari yang diharamkan berpuasa sunat di dalamnya.
Semoga penerangan ringkas ini bermanfaat kepada sekelian umat Islam dimana sahaja mereka berada dan semoga Allah SWT menggolongkan kita semua bersama golongan hamba-hambaNya yang sentiasa mendapat rahmat dan keampunanNya.
Wallaahu 'alam

0 Comments:
Post a Comment
<< Home