-Srikandi Islam- Maimunah Al-Haris
Maimunah Al-Haris
Isteri Yang Bahagia
Pada tahun keenam Hijrah, Rasulullah bersama lebih 1,400 orang sahabat telah bertolak ke Mekah untuk menunaikan umrah. Inilah kali pertama mereka kembali ke Mekah selepas sekian lama menyingkir diri dari tanah tumpah darah mereka. Berita kedatangan rombongan baginda sampai ke pengetahuan puak Quraisy lalu golongan kafir ini bersiap sadia untuk menghalang kedatangan baginda ke dalam kota.
Berlaku sedikit kekecohan dan untuk menyelamatkan keadaan, Rasulullah bersetuju mengikat perjanjian damai dengan orang kafir Quraisy di Hudaibiyah yang terletak sembilan kilometer dari Mekah. Mengikut perjanjian, Rasulullah dan pengikutnya tidak boeh memasuki Mekah pada tahun itu tetapi mereka boleh datang pada tahun berikutnya. Bagaimanapun mereka dibenarkan berada di Mekah selama tiga hari sahaja dalam keadaan aman dan bebas daripada senjata.
Selain itu, orang Quraisy juga menetapkan syarat bahawa sesiapa dari kalangan mereka yang lari menyerahkan diri pada Rasulullah, maka mesti dikembalikan ke Mekah semula. Tetapi jika orang-orang Islam yang menyerah diri kepada puak Quraisy, mereka tidak akan dikembalikan pada Rasulullah.
Kegembiraan Orang Islam
Perjanjian itu dilihat sebagai berat sebelah oleh sahabat yang lain tetapi kerana taat pada Rasulullah, mereka tidak menyuarakan bantahan. Tanpa banyak bicara, mereka kembali semula ke Madinah dan membuat persediaan untuk datang smula ke Mekah pada tahun berikutnya. Seperti dijanjikan, mereka sampai paad tahun berikutnya dan orang kafir Quraisy keluar berkhemah di luar kota untuk memberi laluan pada orang Islam menunaikan ibadat.
Detik itu dilihat sebagai saat kegembiraan bagi orang Islam kerana mereka dapat memasuki Mekah selepas tujuh tahun menunggu. Kegembiraan itu turut dinyatakan dalam al-Quran ayat al-Fath:27 yang bermaksud, "Demi sesungguhnya ALLAH tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar, iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid al-Haram - insyaALLAH (paad masa yang ditentukanNya) - dalam keadaan aman menyempurnakan ibadat umrah kamu dengan mencukur kepala kamu, dan kalau tidak pun menggunting sedikit rambutnya serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ)."
Tiga hari digunakan sepenuhnya untuk melunaskan ibadat umrah. Suasana orang Islam mengerjakan umrah satu pemandangan yang menarik perhatian orang Quraisy. Pemandangan itu sungguh yang asing bagi mereka yang dalam diam mengintai pergerakan ibadat orang Islam di dalam kota. Dalam ramai-ramai, terdapat seorang wanita yang terpesona dengan tingkah laku Rasulullah itu dan dalam diam mula menaruh perasaan terhadap baginda.
Meluahkan Isi Hati
Wanita itu adalah Barrah binti al-Haris bin Hazan bin Bujair al-Amiriah al-Hilaliyah. Ibunya Hindun binti Auf dan sebelum ini seorang anak perempuan Hindun, ialah Zainah binti Khuzaimah pernah berkahwin dengan Rasulullah selama lapan bulan sebelum meninggal dunia dalam usia yang muda.
Barrah dikategorikan sebagai wanita berkedudukan tinggi. Dia pernah berkahwin dengan Mas'ud bin Amru bun Umair as-Saqafi. Selepas suaminya yang pertama meninggal dunia, dia dikahwini pula oleh Abu Ruhm bin Abdul Uzza bin Abu Qais sehinggalah suaminya itu meninggal dunia.
Wanita berusia 26 tahun dan telah menjadi janda itu meluahkan isi hatinya pada Ummi Fahdl, yang merupakan isteri al-Abbas, bapa saudara Rasulullah sendiri dengan harapan wanita itu akan menjadi orang tengah mereka. Dalam satu riwayat bagaimanapun menceritakan, Barrah yang menawarkan dirinya pada Rasulullah seperti yang diceritakan oleh al-Quran lewat surah al-Ahzab:50 yang bermaksud, "...dan Kami telah halalkan bagimu mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya pada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya, perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang yang beriman umumnya..."
Selesai mengerjakan ibadat selama tiga hari, rombongan Rasulullah berangkat keluar dari Mekah. Dalam perjalanan pulang ke Madinah, di suatu tempat bernama Saraf, rombongan Barrah pun tiba. Baginda mengahwini Barrah pada Syawal tahun ketujuh Hijrah selepas mewakilkan sepupunya Jaafar bin Abu Talib untuk melamar wanita itu selepas mendapat berita mengenai perasaan Barrah yang disampaikan oleh al-Abbas.
Maimunah Yang Bahagia
Kediaman Rasulullah menerima seorang lagi isteri dan kehadiran Barrah sebenarnya ibarat menggantikan kakaknya Zainab yang hanya sempat menjadi isteri Rasulullah selama beberapa bulan. Rasulullah menukarkan nama Barrah kepada Maimunah yang bererti 'si bahagia' kerana kebetulan Rasulullah mengahwininya ketika mereka di dalam saat gembira selepas memasuki Mekah untuk menunaikan ibadat umrah.
Maimunah merupakan isteri Rasulullah yang terakhir (Ummul Mukminin terakhir) dan selalu mengenangi saat manis ketika dinikahkan dengan Rasulullah di Saraf sehingga dia mewasiatkan agar jenazahnya dikebumikan di Saraf seandainya dia meninggal dunia. Wanita ini meninggal dunia pada usia 81 tahun, pada tahun 51 hijrah dan disemadikan di bawah sebuah kubah di Saraf.
Maimunah pernah meriwayatkan sebanyak 76 hadis daripada Rasulullah tetapi yang dicatatkan Imam Bukhari dan Muslim dalam sahih masing-masing sebanyak 13 dan yang muttafaq alaih antara kedua-duanya adalah tujuh buah. Keperibadian Maimunah pernah dicatatkan oleh Siti Aisyah Abu Bakar sebagai, "Demi ALLAH, dia orang yang paling bertakwa antara kita semua dan sangat gemar membantu kaum keluarganya."
majalah NUR, Isu Januari 2006

0 Comments:
Post a Comment
<< Home